RINGKASAN SEJARAH KITA
k e n a l i  m a l a  y s i a

Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.

Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula daripada zaman inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas Portugis, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri.





Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan. Terdapat beberapa individu mula bangkit menentang penjajah namun disebabkan usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan, penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh British. Antara tokoh yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh yang lain.

Dalam era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Perjuangan mereka mula melibatkan wadah media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada di kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS). Perjuangan golongan ini mula bermatlamat untuk mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri.







Dalam usaha rakyat Malaysia memperjuangkan kemerdekaan, Tanah Melayu telah dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan bermula satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 dan akhirnya telah menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Pengunduran Jepun telah memberi sedikit ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960). Keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa.

Sekembalinya British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan ini telah mendapat penentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan UMNO telah menyemarakkan lagi penentangan tersebut seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri. Kemunculan Tunku Abdul Rahman telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Perikatan dengan dua parti utama iaitu kaum Cina dan India mula membuka mata British untuk membenarkan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya. Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi harapan bahawa negara akan mendapat taraf merdeka sepenuhnya menjelang 31 Ogos 1957.




Setelah kemerdekaan dicapai, negara berhadapan pula dengan masalah apabila ingin menubuhkan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura. Penentangan terhadap penyatuan ini datang daripada Parti Rakyat Brunei, Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA terjelma pada 13 September 1963


1MALAYSIA DALAM 
LIPATAN SEJARAH KEMERDEKAAN NEGARA

Acara Penuh Emosi
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1956. Bertempat di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, pengisytiharan kemerdekaan ini dibaca di hadapan Raja-Raja Melayu dengan disaksikan oleh 20,000 rakyat tempatan, 26 perwakilan asing serta 21 tetamu khas. Selepas membaca Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tunku mengangkat tangan dan melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dengan penuh semangat dan laungan itu mendapat sambutan daripada hadirin dengan pekikan gemuruh sehingga menggegarkan suasana stadium. Majlis diteruskan dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu oleh Angkatan Tentera Laut diiringi lagu kebangsaan “Negaraku’ dan bedilan meriam sebanyak 101 das. Acara penuh emosi disambung dengan laungan azan sebagai tanda kesyukuran berakhirnya sebuah penderitaan yang panjang. Peristiwa ini juga menandakan lahirnya sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.


Pengorbanan Hati dan Perasaan
Menyingkap peristiwa bersejarah ini, memberi peluang kepada generasi muda mengetahui erti kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan menuntut banyak pengorbanan. Bukan setakat berkorban harta. Bukan setakat berkorban masa. Pengorbanan mereka hingga ke peringkat mengorbankan hati dan perasaan. Walaupun pada peringkat awal perjuangan, ada cadangan yang mahukan kita berjuang menuntut kemerdekaan melalui peperangan namun, Tunku Abdul Rahman tetap berkeras untuk cuba membebaskan Tanah Melayu tanpa melibatkan pertumpahan darah. Beliau tidak mahu rakyat terkorban. Beliau tidak mahu ada rakyat hidup dalam kesusahan akibat peperangan. Daripada peringkat awal ini, sudah terserlah pimpinan Persekutuan Tanah Melayu mendahulukan rakyat seiring dengan apa yang diperjuangkan dalam gagasan 1Malaysia.

Prinsip Penerimaan
Apa yang dikatakan sebagai pengorbanan hati dan perasaan ini ialah satu pengorbanan berbentuk emosi yang bukan semua orang mampu melakukannya. Pengorbanan ini kalau dikaitkan dengan gagasan 1Malaysia, ia terserlah dalam prinsip pertama iaitu prinsip penerimaan. Penerimaan dalam konteks pengorbanan yang membawa kepada kemerdekaan ialah kesediaan pimpinan Tunku Abdul Rahman menerima kaum-kaum lain iaitu kaum Cina dan India untuk sama-sama berjuang mendapatkan kemerdekaan.

Prinsip penerimaan ini telah berjaya menggabungkan tiga parti politik utama iaitu UMNO, MIC dan MCA membentuk parti PERIKATAN. PERIKATAN telah mendapat kepercayaan majoriti dalam pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang diadakan pada tahun 1955. Kemenangan besar ini akhirnya memberi kepercayaan kepada British bahawa Tanah Melayu sudah bersedia untuk berkerajaan sendiri.



Perpaduan Dalam Kepelbagaian
Penggabungan ini juga membuktikan kewujudan bibit-bibit perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum pada waktu itu. Perpaduan ini juga telah membentuk satu pasukan perundingan yang dihantar ke London bagi mendapatkan kemerdekaan negara pada Februari 1956. Rombongan Tunku bersama-sama wakil-wakil kaum lain seperti V.T. Sambanthan dan Tan Cheng Lok, telah berjaya membuahkan hasil apabila British berjanji akan memberikan taraf Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka pada 31 Ogos 1956.

Dalam peringkat pembentukan sebuah negara yang bebas dan berdaulat, penerimaan kaum Melayu untuk memberikan taraf warganegara kepada kaum migrasi Cina dan India juga membuktikan bahawa ia merupakan satu bentuk pengorbanan yang besar. Kaum Cina dan India pula menerima hakikat bahawa kaum Melayu akan menerima hak istimewa sebagai bumiputera dan kesemua pengorbanan ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan ini telah memberi hak yang tepat kepada rakyat dan pada hari ini dalam 1Malaysia, perjuangan membentuk perpaduan juga berlandaskan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Prinsip Kenegaraan dan Keadilan Sosial
Selain prinsip penerimaan, dua lagi prinsip teras dalam 1Malaysia iaitu kenegaraan dan keadilan sosial, memang sudah terlihat dalam perjuangan kemerdekaan. Kenegaraan yang dikaitkan dengan semangat nasionalisme dan cintakan negara telah membuatkan Tunku Abdul Rahman bersama-sama UMNO bangkit menentang Malayan Union. Semangat kaum Melayu ini akhirnya berjaya meresapi dua kaum lagi iaitu Cina dan India untuk sama-sama bangun berjuang membebaskan tanah air dari belenggu penjajah. Walaupun pada peringkat awalnya, migrasi Cina dan India menumpahkan taat setia mereka kepada negara asal masing-masing, namun apabila mereka suda lama bertapak di tanah Melayu, perasaan sayang dan cintakan negara mula timbul dan melalui MIC dan MCA, mereka bergabung dengan orang Melayu berjuang demi negara tercinta.

Dalam prinsip keadilan sosial pula, semua rakyat Tanah Melayu akan terbela nasibnya dan tidak akan ada mana-mana kaum yang akan dipinggirkan. Hal ini jelas dapat dilihat di awal pembentukan Persekutuan Tanah Melayu khususnya dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan merupakan satu dokumen yang memelihara hak semua kaum dan ia merupakan satu dokumen undang-undang yang tertinggi. Dalam usaha mencapai kemerdekaan, perbincangan antara kaum yang dikenali dengan kontrak sosial ini membuahkan hasil di mana semua kaum bersetuju bahawa mereka telah dan akan mendapat hak masing-masing dan hak itu terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipertikaikan lagi.








1Malaysia, Satu Kesinambungan
Ketiga-tiga prinsip dalam gagasan 1Malaysia sudah terbukti berjaya membawa Tanah Melayu mengecap kemerdekaan setelah berada di bawah penjajah selama 446 tahun. Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini juga membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia adalah satu kesinambungan daripada perjuangan generasi lampau. Ia juga membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia memberi satu penyelesaian yang baik bagi sebarang pertikaian yang melibatkan perpaduan kaum. Elemen 1Malaysia nampaknya telah berjaya membawa Tanah Melayu berdiri megah sebagai satu negara yang merdeka dan berdaulat. Hari ini, kita dalam perjuangan membawa 1Malaysia untuk menjadikan negara kita sebagai negara yang berpendapatan tinggi seterusnya mencapai status negara maju menjelang 2020.







Petikan Kata-kata Perdana Menteri Malaysia
“Setiap kita harus hormat hak dan perasaan masing-masing, bertolak ansur dengan agama orang lain, adat dan tabiat, kerana menerusi kepelbagaian itu kita boleh mendapat perpaduan yang sebenar”.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

“Kita mengamalkan sistem kerajaan demokratik dan tidak membuat perbezaan antara kaum. Kita percaya kepada sikap berlaku adil kepada semua.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 

“Kumpulkan segala tenaga dan usaha bagi membina perasaan muhibah di kalangan rakyat untuk selama-lamanya bagi menjamin peristiwa pahit tidak berulang.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 

“Rakyat dengan hati yang tabah hendaklah menegakkan satu bangsa dan satu negara, memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan akan mencapai keamanan dan kemakmuran, kesentosaan dan kebahagiaan.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 

“Kita memikir apakah sumbangan yang patut kita beri kepada negara dan janganlah kita semata-mata memikirkan apa faedah kita patut dapat daripada kerajaan dan negara”.
Tun Abdul Razak 

“Kita harus sedar bahawa kita hidup bebas dan merdeka hanya dengan adanya perpaduan di kalangan rakyat.”
Tun Abdul Razak 

“Memupuk taat setia dan tidak berbelah bagi dan memahami hak serta keistimewaan masing-masing menjadi tanggungjawab utama rakyat kepada negara.”
Tun Abdul Razak 

“Rakyat diberi penuh kebebasan untuk menyubur dan mengembangkan agama masing-masing tanpa sebarang sekatan atau halangan.”
Tun Abdul Razak 
“Di mana ada harapan di situ ada usaha, di mana tiada keadilan, tidak akan ada keamanan, keharmonian dan muhibah.”
Tun Hussein Onn 

“Malaysia akan terjerumus dalam pergolakan dan kekacauan jika rakyat berperasaan pelampau, perkauman, tamak haloba, serta mementingkan puak dan kaum dari kepentingan negara”.
Tun Hussein Onn 

“Tidak ada jalan pendek bagi mewujudkan asas yang kukuh dalam membangunkan negara. Kejayaan yang dicapai tidak seharusnya membuat kita berpuas hati dan berpeluk tubuh”.
Tun Hussein Onn 

“Satu hari, kita pasti mampu mencipta pelbagai perkara bagi menyaingi negara maju lain”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad 

“Selagi kita jahil dalam bidang-bidang pengetahuan dan kecekapan pada zaman ini, selama itulah kemerdekaan kita mudah digugat dan kita terpaksa tunduk kepada kuasa asing”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad 

“Tiada ada sesuatu yang lebih melemahkan semangat daripada kurang pengetahuan.Kita tidak mahu rakyat Malaysia lemah semangat sehingga mudah ditawan”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad 

“Kita mampu menjadi yang cemerlang, gemilang dan yang terbilang. Bersatulah tanpa mengira bangsa dan agama, melalui segala onak dan ranjau membangunkan negara”.
Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi 

“ Tiada guna jika negara mempunyai ramai cerdik pandai, hasil bumi yang banyak dan memiliki teknologi tinggi jika tidak berpaksikan pada kesatuan dan perpaduan”.
Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak 

TEMA KEMERDEKAAN YANG KE-53
1 M a l a  y s i a  M e n j a n a  T r a n s f o r m a s i